Wednesday 12 December 2012

Permasalahan Penduduk Kampung Olak Lempit



Masalah Penduduk
Lalu lintas
Pencemaran alam sekitar
Pendatang asing
Kecurian
Kesihatan

Berikut menunjukkan permasalahan yang terdapat di kampung Olak Lempit. Tidak terdapat banyak masalah yang berlaku di kampung ini. Masalah-masalah yang terdapat dalam jadual 1 merupakan hasil temuramah bersama ketua kampung dan soal selidik terhadap penduduk kampung. 

Penduduk kampung Olak Lempit menghadapi masalah lalu lintas di mana jalan raya terlalu sibuk dengan kenderaan berat. Ini menyukarkan penduduk yang berada di kawasan jalan raya utama untuk melintas jalan. Ketiadaan lampu isyarat yang mencukupi juga menambahkan lagi kesukaran penduduk untuk melintas jalan. 

Penduduk juga mengalami masalah pencemaran alam sekitar. Pencemaran udara sering berlaku akibat daripada asap-asap kilang yang berdekatan dengan kampung Olak Lempit. Ini membimbangkan penduduk kampung tentang kesihatan masing-masing. Kilang-kilang yang terdapat berhampiran di Kampung Olak Lempit ini tidak wajar di bina berdekatan kerana menjejaskan kesihatan dan persekitaran kampung ini. 

Selain itu, dengan adanya kilang-kilang tersebut, terhasillah satu populasi baru di Kg Olak Lempit iaitu pendatang asing seperti daripada Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Thailand. Disebabkan kehadiran pendatang asing ini, penduduk kampung merasakan bahawa keselamatan mereka tidak terjamin walaupun mengikut laporan daripada penduduk kampung, jarangnya berlaku kejadian-kejadian kecurian dan sebagainya. Namun begitu, ketika hendak membuat kajian soal selidik ini, kelihatan seperti penduduk kampung takut untuk membuka pintu kerana telah banyak kejadian pukau berlaku di kampung tersebut. 

Penduduk kampung yang berbisnes kecil seperti kedai runcit juga turut terjejas kerana pendatang asing ini telah membuka kedai-kedai sendiri tanpa sah. Oleh itu, penduduk kampung mempunyai banyak saingan untuk berniaga. 

Masalah seterusnya yang dihadapi oleh penduduk adalah masalah kesihatan. Namun dari segi kesihatan penduduk tidak mempunyai masalah yang serius. Hanya segelintir warga tua yg mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi. Terdapat pusat kesihatan iaitu Klinik Desa di kampung tersebut. Namun begitu, mengikut ketua kampung Olak Lempit, kemudahan di klinik tersebut sangat terhad. Mereka hanya membuat rawatan untuk ibu-ibu mengandung sahaja dan selebihnya akan dilanjutkan ke hospital di Banting yang jaraknya lebih kurang 10km daripada kampung tersebut. Ketua kampung mencadangkan supaya klinik tersebut membuat rawatan lebih kepada orang tua.

No comments:

Post a Comment