Monday 10 December 2012

SEJARAH SEKOLAH


Tarikh Penubuhan
Tarikh 6 Januari 1952 adalah merupakan detik permulaan Sekolah Kebangsaan Olak Lempit diwujudkan dengan menggunakan nama ‘Sekolah Melayu’ iaitu nama yang dikenali bagi sekolah-sekolah aliran di zaman penjajah.


Mengapa perlu didirikan di kawasan ini
Sebelum sekolah ini didirikan, sebilangan besar anak-anak Kampung Olak Lempit bersekolah di Sekolah Melayu Sungai Manggis iaitu jaraknya kira-kira 6 kilometer dari kampung ini. Kebanyakannya hanya kanak-kanak lelaki sahaja yang pergi bersekolah sementara kanak-kanak perempuan tidak bersekolah kerana sekolah terlalu jauh dari tempat tinggal dan kanak-kanak ini terpaksa berjalan kaki ke sekolah.

Memikirkan masalah inilah penduduk Kampung Olak Lempit berusaha untuk mendirikan sebuah sekolah di kampung mereka sendiri bagi menempatkan lebih ramai lagi kanak-kanak yang dahagakan pelajaran. Dengan semangat gotong-royong yang menjadi amalan dan tradisi serta tenaga yang gigih daripada setiap ahli masyarakat yang berjiwa ingin maju ketika itu, maka terdirilah sebuah bangunan kayu yang beratapkan nipah, berlantaikan  papan dan dinding sekerat, luasnya 25 × 50 kaki persegi.
Setelah sekolah siap dibina, murid-murid darjah 2 dan 3 di Sekolah Melayu Sungai Manggis berpindah ke sekolah ini. Walaupun dasarnya sekolah sudah siap dibina, tetapi terdapat berbagai-bagai masalah yang perlu ditempuhi kerana segala-galanya dalam keadaan serba kekurangan. Selain daripada kekurangan kemudahan-kemudahan asas seperti air, tandas dan bilik-bilik darjah yang sempurna, masalah besarnya ialah kekurangan tenaga pengajar. Sekolah ini pada masa itu menampung seramai 60 orang murid dan hanya mempunyai 2 orang guru sahaja iaitu seorang Guru Besar dan seorang guru penolong (guru pelatih).

Apabila negara kita telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, satu jawatankuasa bertindak bagi sekolah ini telah ditubuhkan pada awal tahun 1958 dengan tujuan untuk mendapatkan sebuah bangunan sekolah yang baru. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh jawatankuasa tersebut. Mereka telah menghantar satu rombongan telah beberapa kali pergi menemui Pegawai Pelajaran dan surat-surat permohonan juga berulang-ulang kali dihantar. 
Akhirnya, pada pertengahan tahun 1962 sebuah bangunan baru mula didirikan. Sesungguhnya Sekolah Melayu Kampung Olak Lempit yang mula-mula didirikan itu dapatlah dikatakan sebagai perintis kepada keadaan yang ada pada hari ini. Sekolah Melayu Olak Lempit kemudian bertukar nama menjadi ‘Sekolah Umum’ iaitu pada awal 60-an dan seterusnya menjadi ‘Sekolah Kebangsaan Olak Lempit’


Bagaimana Sekolah Mendapat Nama
Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan kerana  sekolah ini aliran Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Nama Olak Lempit digunakan berdasarkan nama tempat sekolah ini didirikan. Dengan ini ia disebut Sekolah Kebangsaan Olak Lempit.

Kampung Olak Lempit pula mendapat namanya mengikut sejarahnya, ada sebatang sungai di kampung ini yang menjadi laluan utama pedagang luar untuk pergi ke Kampung Labohan Dagang iaitu kampung yang paling hanpir dengan Kampung Olak Lempit. Pada suatu hari, ada beberapa orang pedagang yang pertama kali melalui sungai ini secara kebetulan singgah untuk berehat. Setelah berehat menikmati keindahan alam sekeliling, mereka meneruskan perjalanan. Sewaktu berjalan mengikut arah sungai mengalir, mereka mendapati bahagian hulu sungai itu agak sempit, bengkang-bengkok dan arusnya pula sangat deras. Salah seorang daripada mereka memanggil sungai ini ‘Olak” kerana arusnya berolak manakala rakannya yang lain menambah ‘Lempit’ disebabkan sungainya sempit. Sejak itu kampung ini dikenali dengan nama ‘Olak Lempit’ hingga ke hari ini.

Logo Sekolah


Visi Sekolah
Sekolah Kebangsaan Olak Lempit menjadi cemerlang dalam semua bidang di peringkat daerah menjelang 2013.


Misi Sekolah
Sekolah Kebangsaan Olak Lempit diwujudkan untuk melaksanakan pendidikan yang berterusan bagi murid-murid dalam usaha melahirkan insan yang cemerlang selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Matlamat Sekolah
Menggembeling seluruh tenaga dan usaha kearah kecemerlangan di segenap bidang bagi melahirkan pelajar yang berjaya dari segi akademik dan kokurikulum serta terdidik secara menyeluruh ke arah pembentukan sahsiah murni untuk mencapai matlamat KBSR dan FPK.

Falsafah Sekolah
Murid    
“ Murid-murid sekolah ini mempunyai peluang untuk maju di bidang akademik dan berpotensi untuk menjadi warga yang cemerlang. Oleh itu, mereka perlu diberi peluang untuk menonjolkan keupayaan dan ketrampilan dalam segala bidang.”

Guru 
“ Warga pendidik SKOL berkeupayaan dan berkebolehan untuk memberi pendidikan yang sempurna dan bermutu bagi melahirkan generasi yang berilmu dan mempunyai jati diri.”


Piagam Sekolah
1) Mewujudkan semangat kekeluargaan yang mengamalkan budaya pengasih dan penyayang.
2) Melahirkan murid dan masyarakat yang berilmu, berketrampilan dan bertanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang berguna.
3) Mempertingkatkan prestasi kurikulum dan Kokurikulum selaras dengan falsafah Pendidikan Kebangsaan.
4) “SKOL” atau SK Olak Lempit
S    -  Sentiasa bertanggungjawab terhadap murid dan masyarakat mengatasi masalah yang dihadapi.
K    - Kejayaan, Kebahagiaan dan kesejahteraan adalah tanggungkawab dan kebanggaan semua.
O    - Oleh itu kita sentiasa berganding bahu menuju kejayaan.
L     - Lambat laun tercapai juga wawasan kita
5) Menanamkan semangat kepada semua individu yang terlibat di sekolah dan masyarakat dengan “RAJIN, USAHA, JAYA”

No comments:

Post a Comment